Artikel 2: Pengalaman Program Integrasi Gayung 2

Saturday, April 9, 2005

Disediakan oleh,
NUR SHAZUANEE BINTI MALEK
Setiausaha,
Persatuan Silat Seni Gayung,
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2,
Skudai, Johor Bahru,
Johor.

Pada 8 April yang lalu, kami seramai 9 orang pelajar telah mewakili Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2 dalam mengikuti Program Integrasi Gayung II yang dianjurkan oleh Majlis Gurulatih Negeri Johor dan Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Negeri Johor.

Dalam program ini, kami yang disertai seramai 84 orang peserta yang terdiri daripada gabungan beberapa buah gelanggang Silat Seni Gayung telah berkampung selama tiga hari dan dua malam di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Johor. Program Integrasi Gayung II telah menghimpunkan murid-murid dari Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia di bawah bimbingan dan didikan Gurulatih merangkap Pemegang Amanah Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad sejak dari tahun 1995 hingga 2005 yang bertemakan “Memperkasa Warisan Seni dan Budaya”.

Program yang memakan masa selama tiga hari ini telah bermula pada hari Jumaat, 8 April 2005 di mana kami menunggu bas yang akan membawa kami ke Tanjung Piai sedari jam 10.00 pagi. Disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, bas yang dijangka hadir pada jam 10.00 pagi telah terlewat sehingga jam 12.00 tengah hari. Disebabkan itu juga kami bertolak ke Tanjung Piai pada jam 12.30 tengah hari.

Perjalanan dari Taman Universiti ke Tanjung Piai telah memakan masa selama 40 minit itu telah memberi kesempatan kepada kami untuk berkenalan dengan beberapa orang peserta lain yang terdiri daripada gelanggang-gelanggang seperti Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti, Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda dan sebagainya. Akhirnya kami tiba di Tanjung Piai pada jam 1.10 petang.

Setibanya kami di sana, kami telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan peserta perempuan dan kumpulan peserta lelaki. Peserta perempuan terus dibawa ke Taman Negara untuk sesi pendaftaran yang diuruskan oleh bahagian urusetia manakala peserta lelaki pula di bawa ke masjid Pontian untuk menunaikan Solat Jumaat. Selepas pendaftaran selesai, peserta perempuan menunaikan Solat Zohor dan kemudian mendirikan khemah sementara menunggu ketibaan peserta lelaki. Apabila peserta lelaki sampai ke destinasi yang dituju, mereka terus mendaftarkan diri dan seterusnya mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang telah disediakan oleh pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Pada jam 5.00 petang, kami telah dibawa masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Program, Ketua Komanden dan Pegawai Taman Negara. Kemudian kami mempersiapkan diri untuk menunaikan solat Asar selepas selesai minum petang. Selepas solat Maghrib kami bersama-sama menjamu selera dengan makan malam pada jam 7.40 petang. Pada jam 8.00 malam kami telah menjalani aktiviti yang pertama iaitu “Alam Si Kunang-kunang” yang dikendalikan oleh Taman Negara.

Pada jam 8.30 malam kami bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Selesai kami bersolat, kami masuk ke dalam dewan untuk menjalani aktiviti kedua iaitu “Majlis Bersama Pemegang Amanah PSSGM Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad yang juga merangkap Ketua Waris Beradat, Majlis Lembaga Beradat Kebangsaan, Majlis Gurulatih Kebangsaan dan Pengerusi Gurulatih Negeri Johor. Pada jam 10.00 malam, kami dibawa ke tapak perhimpunan dan seterusnya menjalani aktiviti ketiga iaitu “Ice-Breaking”. Dalam aktiviti ini kami dibahagikan kepada lapan kumpulan yang terdiri daripada peserta-peserta dari pelbagai jenis gelanggang yang bertujuan untuk mewujudkan integrasi di antara kami. Selepas itu setiap kumpulan akan melantik salah seorang peserta lelaki dari setiap kumpulan untuk memegang jawatan sebagai Penghulu dan seorang peserta perempuan sebagai Penghuluwati. Pada jam 11.00 malam, kami menjalani aktiviti keempat iaitu bermain “Dam Haji XXL”. Selesai bermain kami ke dewan untuk berbincang sesama ahli kumpulan bagi mencipta sebuah lagu dan nama kumpulan sebagai identiti kumpulan masing-masing. Akhirnya kami berehat dan tidur pada jam 12.30 tengah malam.

Pada hari kedua, kami bangun seawal jam 5.00 pagi untuk membersihkan diri dan menyiapkan diri masing-masing untuk menunaikan solat Subuh. Selepas itu, kami memanaskan badan dengan aktiviti senaman yang dikendalikan oleh Kem Komanden. Kami bersarapan pada jam 7.30 pagi. Kemudiannya kami menjalani aktiviti kelima iaitu “Mengenal Alam/Konservasi” yang dikendalikan oleh Taman Negara di mana kami terpaksa berdepan dengan lumpur semata-mata untuk menanam benih pokok bakau.

Seterusnya aktiviti kelima pula berlangsung iaitu “Daka-Daki Ku Daki Jua”. Kami terpaksa menempuh kira-kira lapan hingga sepuluh halangan yang berunsurkan lumpur dan diakhiri dengan acara boling kelapa. Aktiviti ini selesai dijalani oleh semua peserta pada jam 12.30 tengah hari. Selepas membersihkan diri daripada kotoran lumpur, kami menjamu makan tengah hari kami dan diberi masa untuk berehat dan solat Zohor sehingga jam 2.00 petang.

Pada jam 2.00 petang, kami diarahkan untuk ke dewan bagi menjalani aktiviti seterusnya iaitu aktiviti keenam yang diberi nama “Helah Bela Diri Menggunakan Persekitaran Alam”. Aktiviti seterusnya ialah merupakan aktiviti yang amat dinanti-nantikan oleh semua peserta iaitu “Futsal” yang ditandingi oleh peserta-peserta dalam kumpulan yang dipisahkan acara bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Walaupun kebiasaannya permainan futsal dimainkan oleh kaum lelaki tetapi di dalam program ini kaum perempuan turut berkesempatan untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam permainan ini.

Selepas penat bermain, kami dijamu dengan makan malam pada jam 6.30 petang dengan hidangan yang cukup enak iaitu BBQ dan kemudian bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib. Pada jam 8.00 malam kami berbincang dalam kumpulan tentang persembahan yang akan dipersembahkan pada malam berkenaan dalam aktiviti ketujuh iaitu “Gayung Fantasia”. Tepat jam 9.30 malam bermulalah episod malam “Gayung Fantasia” di mana setiap kumpulan wajib mempersembahkan persembahan masing-masing. Persembahan ini tamat pada jam 10.30 malam.

Selepas kami selesai minum malam (supper), kami mengikuti aktiviti kelapan iaitu “Helah Beladiri Menggunakan Persekitaran Alam dan Teknik, Taktik dan Rahsia Gayung” yang dipengerusikan oleh Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad yang mana aktiviti ini mengambil masa sehingga jam 1.00 pagi.

Pada hari yang terakhir kami bangun seawal jam 5.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat Subuh. Kami bersenam pada jam 7.00 pagi. Selepas memanaskan badan kami bersarapan sebelum kami diuji minda dengan soalan yang berkenaan dengan paya bakau. Selepas penat kami memerah otak untuk menjawab soalan berkenaan dengan paya bakau, kami dibawa untuk menjamu mata dengan melihat khazanah alam paya bakau seterusnya mengenali alam paya bakau serta komuniti yang terdapat di paya bakau yang dikendalikan oleh Taman Negara. Kami membasahkan tekak yang terasa dahaga dengan minum pagi pada jam 10.30 pagi. Kemudian kami bertungkus-lumus membuat persiapan untuk majlis penutup.

Pada jam 12.00 tengah hari kami masuk ke dalam dewan untuk Majlis Penutupan Rasmi Program Integrasi Gayung II dan Majlis Penyampaian Hadiah dan sijil. Selepas majlis tersebut selesai kami bersurai selepas jamuan tengah hari dan salam perpisahan. Kemudian bas tiba dan mengambil kami pada jam 4.00 petang untuk menghantar kami ke sekolah atau gelanggang masing-masing. Kami tiba di sekolah pada jam 5.00 petang. Program Integrasi Gayung II ini telah memberi seribu kenangan dan sejuta makna kepada kami dengan meraih pelbagai pengalaman yang amat berharga di samping ukhwah persahabatan yang teramat tinggi nilainya. Walaupun kami tidak mengenali di antara satu sama lain pada awalnya namun melalui Program Integrasi gayung II ia mampu mengeratkan tali persaudaraan di antara kami. Program ini wajar diteruskan demi melahirkan pesilat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

~ Sekian ~

about this blog

This blog will show all the activities from authorized organization. Need your comment and suggestion...

Followers

  © By MrBundle 2007

Back to TOP