Saturday, October 8, 2005




Sila lihat artikel Integrasi Gayung 2.

Read more...

Artikel 3: Pengalaman Program Integrasi Gayung 2

Sunday, April 10, 2005



Disediakan oleh:
Peserta Integrasi Gayung II 2005

Setiap orang mempunyai pengalaman yang tersendiri sama ada pengalaman pahit atau manis. Bagi diri saya, pengalaman yang paling manis yang tidak mungkin saya lupakan ialah semasa mengikuti Program Integrasi Gayung II 2005 yang dianjurkan oleh Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia di mana kami telah berkampung di kawasan yang dikenali sebagai penghujung Benua Asia iaitu Tanjung Piai, Pontian, Johor selama 3 hari 2 malam. Pelbagai pengalaman yang menarik yang telah saya alami dan merupakan pengalaman yang baru yang belum pernah saya tempuhi sebelum ini.

Setibanya kami di kawasan yang ditujui, pengalaman pertama yang saya alami ialah dapat berhimpun dengan rakan pesilat lain yang mana ada di antara kami yang masih belum mengenali satu sama lain dan dari gelanggang yang berbeza. Sikap ramah yang ditunjukkan oleh mereka telah menarik perhatian saya untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Hubungan kami semakin akrab apabila kami diarahkan untuk mendirikan khemah. Di sinilah sikap kerjasama antara kami dapat ditonjolkan sekaligus merapatkan hubungan yang baru terjalin.

Tidak pernah terlintas dalam diri saya bahawa saya akan bergaul mesra dengan pelajar dari pelbagai gelanggang khususnya pelajar UTM. Ternyata kesemua peserta “sporting” belaka dalam menjalankan kesemua aktiviti yang telah ditetapkan. Antaranya ialah pengalaman bermain Dam Haji XXL, Ice-Breaking yang melibatkan kerjasama di antara ahli kumpulan.

Kenangan yang sentiasa terpahat di ingatan saya ialah sewaktu menjalani Alam Si Kunang-kunang di mana kami terpaksa berjalan dalam keadaan gelap-gelita tanpa bersuluhkan lampu. Kami hanya dapat melihat dalam keadaan samar-samar bersuluhkan cahaya bulan pada malam itu demi untuk melihat kunang-kunang. Saya turut berpeluang untuk mengenali perjalanan hidup si kunang-kunang dan dapat memegangnya dengan tangan saya sendiri. Sudah semestinya peluang keemasan ini tidak akan saya lepaskan. Saya turut mencari kunang-kunang dan berjaya menangkapnya tetapi saya terpaksa melepaskannya kembali kerana ini merupakan peraturan Taman Negara.

Pada hari kedua berada di sana. Sekali lagi kami disajikan satu pengalaman yang menyeronokkan di mana kami telah masuk ke kawasan paya bakau dan mencari benih pokok bakau yang sesuai untuk ditanam. Kemudian kami disajikan dengan aktivtiti yang mencabar mental dan fizikal kami iaitu “Daka Daki Ku Daki Jua” di mana kami terpaksa menempuh halangan sebanyak tujuh jenis halangan yang berbeza-beza. Sudah semestinya aktiviti ini memberikan sejuta kenangan di antara saya bersama ahli kumpulan saya iaitu “XELL DRAGON”.Sepanjang perjalanan dalam menempuh halangan ini terdapat pelbagai ragam yang dipamerkan oleh ahli kumpulan kami antaranya ialah terdapat seorang peserta perempuan yang merupakan pelajar UTM bersusah payah untuk menghilangkan kesan lumpur di tudungnya. Ini kerana kesemua halangan yang kami tempuhi adalah mempunyai lumpur paya bakau.

Bagi diri saya pula kenangan yang tidak dapat saya lupakan dan menimbulkan kelucuan apabila saya merentasi halangan ialah saya merupakan seorang peserta yang boleh dikatakan selalu terjatuh di setiap halangan walaupun saya cuba untuk mengawal diri saya tetapi malangnya saya terjatuh juga. Semua ahli kumpulan saya mengatakan bahawa nasib saya sungguh malang kerana sepanjang aktiviti yang dijalankan saya pastinya akan terjatuh. Contohnya semasa bermain “FUTSAL”, saya merupakan seorang “stricker” yang dikenali dengan keganasannya. Ini kerana setiap kali saya bermain pasti saya akan melanggar pemain lain sehingga menyebabkan mereka jatuh dan cedera. Begitu juga dengan saya yang kerap kali terjatuh ketika bermain. Yang lebih malangnya, saya telah dikenakan “Kad Kuning” sebanyak 3 kali. Tetapi akhirnya kami telah menjuarai perlawanan “FUTSAL” di kalangan pemain wanita.

Pada malam “Gayung Fantasia” kami dikehendaki membuat satu persembahan. Kumpulan saya telah menyerahkan watak pencerita kepada saya. Disebabkan saya terlalu gementar, saya telah tergagap sehingga menyebabkan kesemua penonton yang ada ketawa melihat aksi saya itu. Tetapi persembahan kami akhirnya dapat berjalan dengan lancar. Bagi kumpulan lain pula persembahan yang disajikan oleh mereka hebat-hebat belaka hingga menyebabkan kami berasa tidak kering gusi dan hilang rasa mengantuk.

Di saat-saat akhir program, kami telah menamatkannya dengan salam perpisahan. Ketika itulah kami berasa berat hati untuk mengucapkan salam perpisahan kerana belum puas rasanya menikmati program itu. Tetapi apakan daya, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Sebelum pulang saya sempat bertukar nombor telefon dan alamat agar perhubungan silaturrahim ini dapat terus berkekalan. Saya pulang dengan perasaan yang gembira kerana dapat merasai pengalaman yang baru. Sesungguhnya ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

~ Sekian ~

Read more...

Artikel 2: Pengalaman Program Integrasi Gayung 2

Saturday, April 9, 2005

Disediakan oleh,
NUR SHAZUANEE BINTI MALEK
Setiausaha,
Persatuan Silat Seni Gayung,
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2,
Skudai, Johor Bahru,
Johor.

Pada 8 April yang lalu, kami seramai 9 orang pelajar telah mewakili Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti 2 dalam mengikuti Program Integrasi Gayung II yang dianjurkan oleh Majlis Gurulatih Negeri Johor dan Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Negeri Johor.

Dalam program ini, kami yang disertai seramai 84 orang peserta yang terdiri daripada gabungan beberapa buah gelanggang Silat Seni Gayung telah berkampung selama tiga hari dan dua malam di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian, Johor. Program Integrasi Gayung II telah menghimpunkan murid-murid dari Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia di bawah bimbingan dan didikan Gurulatih merangkap Pemegang Amanah Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad sejak dari tahun 1995 hingga 2005 yang bertemakan “Memperkasa Warisan Seni dan Budaya”.

Program yang memakan masa selama tiga hari ini telah bermula pada hari Jumaat, 8 April 2005 di mana kami menunggu bas yang akan membawa kami ke Tanjung Piai sedari jam 10.00 pagi. Disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan, bas yang dijangka hadir pada jam 10.00 pagi telah terlewat sehingga jam 12.00 tengah hari. Disebabkan itu juga kami bertolak ke Tanjung Piai pada jam 12.30 tengah hari.

Perjalanan dari Taman Universiti ke Tanjung Piai telah memakan masa selama 40 minit itu telah memberi kesempatan kepada kami untuk berkenalan dengan beberapa orang peserta lain yang terdiri daripada gelanggang-gelanggang seperti Universiti Teknologi Malaysia, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti, Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda dan sebagainya. Akhirnya kami tiba di Tanjung Piai pada jam 1.10 petang.

Setibanya kami di sana, kami telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan peserta perempuan dan kumpulan peserta lelaki. Peserta perempuan terus dibawa ke Taman Negara untuk sesi pendaftaran yang diuruskan oleh bahagian urusetia manakala peserta lelaki pula di bawa ke masjid Pontian untuk menunaikan Solat Jumaat. Selepas pendaftaran selesai, peserta perempuan menunaikan Solat Zohor dan kemudian mendirikan khemah sementara menunggu ketibaan peserta lelaki. Apabila peserta lelaki sampai ke destinasi yang dituju, mereka terus mendaftarkan diri dan seterusnya mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang telah disediakan oleh pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Pada jam 5.00 petang, kami telah dibawa masuk ke dalam dewan untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Program, Ketua Komanden dan Pegawai Taman Negara. Kemudian kami mempersiapkan diri untuk menunaikan solat Asar selepas selesai minum petang. Selepas solat Maghrib kami bersama-sama menjamu selera dengan makan malam pada jam 7.40 petang. Pada jam 8.00 malam kami telah menjalani aktiviti yang pertama iaitu “Alam Si Kunang-kunang” yang dikendalikan oleh Taman Negara.

Pada jam 8.30 malam kami bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Selesai kami bersolat, kami masuk ke dalam dewan untuk menjalani aktiviti kedua iaitu “Majlis Bersama Pemegang Amanah PSSGM Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad yang juga merangkap Ketua Waris Beradat, Majlis Lembaga Beradat Kebangsaan, Majlis Gurulatih Kebangsaan dan Pengerusi Gurulatih Negeri Johor. Pada jam 10.00 malam, kami dibawa ke tapak perhimpunan dan seterusnya menjalani aktiviti ketiga iaitu “Ice-Breaking”. Dalam aktiviti ini kami dibahagikan kepada lapan kumpulan yang terdiri daripada peserta-peserta dari pelbagai jenis gelanggang yang bertujuan untuk mewujudkan integrasi di antara kami. Selepas itu setiap kumpulan akan melantik salah seorang peserta lelaki dari setiap kumpulan untuk memegang jawatan sebagai Penghulu dan seorang peserta perempuan sebagai Penghuluwati. Pada jam 11.00 malam, kami menjalani aktiviti keempat iaitu bermain “Dam Haji XXL”. Selesai bermain kami ke dewan untuk berbincang sesama ahli kumpulan bagi mencipta sebuah lagu dan nama kumpulan sebagai identiti kumpulan masing-masing. Akhirnya kami berehat dan tidur pada jam 12.30 tengah malam.

Pada hari kedua, kami bangun seawal jam 5.00 pagi untuk membersihkan diri dan menyiapkan diri masing-masing untuk menunaikan solat Subuh. Selepas itu, kami memanaskan badan dengan aktiviti senaman yang dikendalikan oleh Kem Komanden. Kami bersarapan pada jam 7.30 pagi. Kemudiannya kami menjalani aktiviti kelima iaitu “Mengenal Alam/Konservasi” yang dikendalikan oleh Taman Negara di mana kami terpaksa berdepan dengan lumpur semata-mata untuk menanam benih pokok bakau.

Seterusnya aktiviti kelima pula berlangsung iaitu “Daka-Daki Ku Daki Jua”. Kami terpaksa menempuh kira-kira lapan hingga sepuluh halangan yang berunsurkan lumpur dan diakhiri dengan acara boling kelapa. Aktiviti ini selesai dijalani oleh semua peserta pada jam 12.30 tengah hari. Selepas membersihkan diri daripada kotoran lumpur, kami menjamu makan tengah hari kami dan diberi masa untuk berehat dan solat Zohor sehingga jam 2.00 petang.

Pada jam 2.00 petang, kami diarahkan untuk ke dewan bagi menjalani aktiviti seterusnya iaitu aktiviti keenam yang diberi nama “Helah Bela Diri Menggunakan Persekitaran Alam”. Aktiviti seterusnya ialah merupakan aktiviti yang amat dinanti-nantikan oleh semua peserta iaitu “Futsal” yang ditandingi oleh peserta-peserta dalam kumpulan yang dipisahkan acara bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Walaupun kebiasaannya permainan futsal dimainkan oleh kaum lelaki tetapi di dalam program ini kaum perempuan turut berkesempatan untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam permainan ini.

Selepas penat bermain, kami dijamu dengan makan malam pada jam 6.30 petang dengan hidangan yang cukup enak iaitu BBQ dan kemudian bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib. Pada jam 8.00 malam kami berbincang dalam kumpulan tentang persembahan yang akan dipersembahkan pada malam berkenaan dalam aktiviti ketujuh iaitu “Gayung Fantasia”. Tepat jam 9.30 malam bermulalah episod malam “Gayung Fantasia” di mana setiap kumpulan wajib mempersembahkan persembahan masing-masing. Persembahan ini tamat pada jam 10.30 malam.

Selepas kami selesai minum malam (supper), kami mengikuti aktiviti kelapan iaitu “Helah Beladiri Menggunakan Persekitaran Alam dan Teknik, Taktik dan Rahsia Gayung” yang dipengerusikan oleh Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad yang mana aktiviti ini mengambil masa sehingga jam 1.00 pagi.

Pada hari yang terakhir kami bangun seawal jam 5.30 pagi untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat Subuh. Kami bersenam pada jam 7.00 pagi. Selepas memanaskan badan kami bersarapan sebelum kami diuji minda dengan soalan yang berkenaan dengan paya bakau. Selepas penat kami memerah otak untuk menjawab soalan berkenaan dengan paya bakau, kami dibawa untuk menjamu mata dengan melihat khazanah alam paya bakau seterusnya mengenali alam paya bakau serta komuniti yang terdapat di paya bakau yang dikendalikan oleh Taman Negara. Kami membasahkan tekak yang terasa dahaga dengan minum pagi pada jam 10.30 pagi. Kemudian kami bertungkus-lumus membuat persiapan untuk majlis penutup.

Pada jam 12.00 tengah hari kami masuk ke dalam dewan untuk Majlis Penutupan Rasmi Program Integrasi Gayung II dan Majlis Penyampaian Hadiah dan sijil. Selepas majlis tersebut selesai kami bersurai selepas jamuan tengah hari dan salam perpisahan. Kemudian bas tiba dan mengambil kami pada jam 4.00 petang untuk menghantar kami ke sekolah atau gelanggang masing-masing. Kami tiba di sekolah pada jam 5.00 petang. Program Integrasi Gayung II ini telah memberi seribu kenangan dan sejuta makna kepada kami dengan meraih pelbagai pengalaman yang amat berharga di samping ukhwah persahabatan yang teramat tinggi nilainya. Walaupun kami tidak mengenali di antara satu sama lain pada awalnya namun melalui Program Integrasi gayung II ia mampu mengeratkan tali persaudaraan di antara kami. Program ini wajar diteruskan demi melahirkan pesilat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

~ Sekian ~

Read more...

Artikel 1: Pengalaman Program Integrasi Gayung 2

Friday, April 8, 2005

Disediakan oleh,
NOOR ATIKA BINTI ABDUL WAHAB
Pelajar,
Smk Taman Universiti,
81300 Skudai,
Johor Bahru.


HARI PERTAMA : JUMAAT, 8 APRIL 2005
Hari ini merupakan hari yang paling menggembirakan bagi kami kerana kami adalah antara yang bertuah untuk mengikuti program Integrasi Gayung II 2005. Kami berkumpul di hadapan pintu pagar sekolah bersama-sama dengan beberapa orang pelajar dari SMK Mutiara Rini. Akhirnya bas yang kami nantikan sejak jam 10.00 pagi telah tiba.

Di dalam bas terdapat kumpulan pelajar-pelajar dari SMK Bandar Baru UDA. Kemudian bas berangkat ke destinasi lain untuk mengambil pelajar-pelajar dari SMK Taman Universiti 2 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Setibanya di masjid Pontian, peserta-peserta lelaki dan urusetia menunaikan solat Jumaat. Akhirnya kami tiba di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada jam 1.45 petang dan bermulalah sesi pendaftaran yang dikelolakan oleh pihak urusetia program.

Sementara menunggu ketibaan peserta lelaki dari menunaikan solat Jumaat, peserta-peserta perempuan ke Galeri Informasi bagi mendapatkan informasi asas mengenai Taman Negara Johor Tanjung Piai. Untuk pengetahuan kami, Taman Negara Johor Tanjung Piai merupakan kawasan penghujung Benua Asia. Setibanya peserta-peserta lelaki di sana, semua peserta dikumpulkan dan diberi taklimat oleh Kem Komanden selain memberi penerangan dan peraturan-peraturan yang perlu diikuti oleh semua peserta sepanjang program berlangsung selama 3 hari itu.

Program ini telah menghimpunkan peserta dari pelbagai pelbagai pelajar IPT, pelajar sekolah menengah dan pelajar sekolah rendah. Setelah selesai sesi taklimat oleh Kem Komanden, kami dikehendaki mendirikan khemah dengan bantuan urusetia-urusetia yang ada. Selesai sahaja mendirikan khemah kami terus menunaikan solat Asar dan diberi minum petang sesudah itu.

Selepas berjemaah Maghrib, aktiviti pada malamnya iaitu “Alam Si Kunang-Kunang” pun bermula. Kami berpeluang melihat dan mengenali kunang-kunang dengan lebih dekat lagi. Beberapa soalan telah diajukan oleh peserta kepada pihak Taman Negara Johor bagi mendapatkan lebih penjelasan dari mereka mengenai kunang-kunang.

Tepat jam 9.00 malam, diadakan majlis rasmi bersama Pemegang Amanah Negeri Johor. Acara ini berakhir lebih kurang jam 11.00 malam. Kemudian kami diberi masa 30 minit untuk menikmati minum malam. Seterusnya tepat jam 12.00 tengah malam aktiviti “Ice-Breaking” pula diadakan. Dalam aktiviti ini, poengenalan diri menggunakan nama samaran atau nama panggilan sahaja. Ketua pula dipilih berdasarkan siapa yang paling dewasa antara peserta dalam kumpulan.

Aktiviti “Dam Haji XXL” yang diadakan pada jam 12.45 tengah malam merupakan aktiviti secara berkumpulan. Ia bertujuan untuk menguji permuafakatan dan persefahaman antara ahli kumpulan. Permainan ini tamat jam 2.00 pagi dan semua peserta akhirnya dapat melenakan diri masing-masing sesudah aktiviti tersebut selesai.

HARI KEDUA : SABTU, 9 APRIL 2005
Seawal jam 5.30 pagi semua peserta bangun dari tidur dan mereka bersiap-siap untuk persediaan bagi menunaikan solt Subuh. Selepas itu kami diberi arahan oleh Kem Komanden tepat jam 7.00 pagi semua peserta berkumpul di dataran bagi melakukan senaman pagi yang dikendalikan oleh Kem Komanden. Kemudian kami menikmati sarapan pagi sebelum aktiviti seterusnya bermula jam 8.00 pagi iaitu “Konservasi” yang bermaksud mengenali alam yang dikelolakan oleh pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Aktiviti ini bertujuan untuk melihat atau mengenali sepsis-spesis pokok bakau. Kami juga berpeluang untuk turun ke kawasan yang menpunyai tanaman pokok bakau bagi menanam benih bakau yang telah diberikan oleh pihak Taman Negara Johor. Jam 9.00 pagi aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta iaitu “Daka Daki Ku Daki Jua”. Aktiviti ini adalah berbentuk aktiviti berhalangan di mana semua peserta perlu lalui pelbagai jenis halangan yang mencabar dan menguji ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental mereka. Mereka juga terpaksa menempuh lumpur sepanjang aktiviti sehingga lumpur tersebut melekat di pakaian dan anggota badan setiap peserta.

Aktiviti ini memakan masa yang agak panjang kerana ia bergantung kepada rahsia atau teknik yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan untuk memenangi pertandingan dalam aktivtiti ini. Pelbagai ragam yang ditunjukkan di kalangan peserta-peserta sebaik sahaja mereka tiba di garisan penamat. Antaranya terdapat peserta yang kehilangan kasutnya, ada beberapa peserta yang tercabut kasut mereka semasa aktiviti berlangsung, dan bermacam-macam lagi. Selepas setiap kumpulan melepasi garisan penamat, acara boling kelapa pula menanti mereka.

Setelah membersihkan dan merehatkan diri, tibalah masanya untuk semua peserta menunaikan solat Zohor selepas semua peserta menjamu makan tengahari. Aktiviti yang seterusnya adalah “Helah Bela Diri Menggunakan Persekitaran Alam” yang dikendalikan oleh En. Mohd Noor bin Hj. Abd Smad selaku Pemegang Amanah PSSGM Negeri Johor Darul Takzim. Aktiviti memberi ‘input’ kepada kami mengenai pertahanan diri berdasarkan kepada apa yang ada di sekeliling kawasan atau tempat kita berada.

Sebelum kami meneruskan aktiviti yang seterusnya, kami terlebih dahulu menikmati hidangan minum petang dan bersolat Asar. Selepas itu aktiviti bermain futsal diadakan sebagai aktiviti riadah kami. Aktiviti ini dimulakan dengan pembahagian kumpulan mengikut lelaki dan wanita. Acara bagi lelaki dan wanita adalah berasingan mengikut kumpulan masing-masing. Jarang sekali permainan futsal dimainkan oleh pemain wanita, maka bagi penonton mereka teruja dengan pemain wanita kerana mereka telah menunjukkan kehebatannya bermain futsal. Aktiviti ini berakhir pada jam 7.00 petang dan semua peserta bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah dan bacaan tahlil.

Pada malam ini kami dihidangkan dengan hidangan yang istimewa iaitu “BBQ”. Selepas itu, setiap kumpulan membuat persediaan terakhir untuk persembahan kumpulan pada malam “Gayung Fantasia”. Dalam aktiviti ini terdapat seramai 7 orang pengkritik yang ditugaskan khas untuk memberi kritikan terhadap persembahan yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan. Kemudian aktiviti seterusnya ialah “Helah Bela Diri Menggunakan Persekitaran Alam” bermula.

HARI KETIGA : AHAD, 10 APRIL 2005 Tepat jam 5.30 pagi semua peserta telah dibangunkan oleh Kem Komanden untuk bersiap-siap menunaikan solat Subuh dan melakukan senaman pagi pada jam 7.00 pagi. Pada hari terakhir ini kami menjalani aktiviti iaitu lawatan sambil belajar di Taman Negara Johor Tanjung Piai. Dalam lawatan ini juga mengadakan pertandingan mengenai bakau dan aktiviti mesra alam. Aktiviti ini telah memberi peluang kepada peserta-peserta untuk sampai ke penghujung Benua Asia yang mana kami dapat melihat Singapura, Pulau Batu Putih, keadaan laut yang bergelombang dan sayup-sayup melihat panorama pulau yang dilitupi kabus.

Pada jam 12.00 tengahari Majlis Penutupan Rasmi Program Integrasi Gayung II/2005 diadakan. Majlis ini telah dirasmikan oleh En. M. Osman, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, SMK Bandar Baru UDA. Di majlis ini turut diadakan penyampaian sijil-sijil dari pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai kepada peserta-peserta yang mengikuti Program Integrasi Gayung II/2005 yang menyatakan bahawa peserta-peserta berkenaan telah berjaya sampai ke kawasan penghujung Benua Asia.

Setelah para peserta selesai menjamu makan tengahari dan menunaikan solat Zohor, para peserta ke tapak perkhemahan untuk menurunkan khemah, mengemas barang keperluan dan kawasan sekitarnya dibersihkan seperti mana keadaanya sebelum kami tiba di tapak tersebut. Sebelum pulang semua peserta dikehendaki melaporkan diri bagi mendapatkan maklumat bilangan peserta adalah mencukupi. Akhir sekali para peserta bersalaman dan bermaafan di antara satu sama lain sebelum mereka kembali pulang ke destinasi masing-masing.

~ Sekian ~

Read more...

Integrasi Gayung II 2005



INTEGRASI GAYUNG II 2005

Anjuran
MAJLIS GURULATIH NEGERI JOHOR
PERTUBUHAN SILAT SENI GAYUNG MALAYSIA NEGERI JOHOR.


Pengenalan:
Integrasi Gayung II 2005 merupakan program bertujuan untuk menghimpunkan murid Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia di bawah bimbingan dan didikan gurulatih merangkap Pemegang Amanah PSSGM Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad sejak 1995 hingga 2005.

Tema:
Memperkasa Warisan Seni Dan Budaya.

Matlamat:
Memurnikan serta memartabatkan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.

Objektif:
1. Melahirkan kesedaran integrasi dan mengeratkan hubungan ukhwah sesama ahli.
2. Melahirkan pesilat-pesilat yang mempunyai cita-cita dan daya kepimpinan yang tinggi.
3. Membentuk keperibadian dan pengamal Silat Seni Gayung Malaysia.
4. Meneruskan kesinambungan survival Silat Seni Gayung Malaysia.
5. Melahirkan kesedaran menyintai alam flora dan fauna ciptaan Allah S.W.T.

Kemahiran Generik Yang Diterapkan:
1. Kemahiran berkomunikasi
2. Penyelesaian masalah
3. Pembelajaran sepanjang hayat
4. Nilai kendiri
5. Etika
6. Kerja berkumpulan
7. Penyesuaian

Kaedah Pengajaran:
1. Kuliah
2. Persembahan
3. Multimedia
4. Lawatan
5. Pertandingan

Tarikh & Masa:
Integrasi Gayung II 2005 mengambil masa tiga hari, dua malam iaitu:

Tarikh :
8hb. hingga 10hb.April 2005

Hari :
Jumaat, Sabtu, dan Ahad

Tempat:
Taman Negara Johor Tanjung Piai, 82030 Mukim Serkat, Pontian, Johor Darul Takzim.

Anjuran:
Gurulatih, Pembantu Gurulatih, Jurulatih, dan Pembantu Jurulatih PSSGM di bawah bimbingan dan didikan Pemegang Amanah PSSGM Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad khususnya bagi negeri Johor Darul Takzim.

Kumpulan Sasaran:
Sasaran himpunan ini melibatkan penyertaan ahli gelangggang di bawah pengawasan dan bimbingan gurulatih yang juga merangkap Pemegang Amanah Negeri Johor, Encik Mohd Noor bin Hj. Abd Samad. Penyertaan himpunan ini dijangka seramai 100 orang peserta lelaki dan wanita di kalangan pelbagai profesion pekerjaan, pelajar IPT, pelajar sekolah rendah dan menengah iaitu gelanggang:
  1. SMK Bandar Baru UDA
  2. SMK Taman Universiti
  3. SMK Taman Universiti
  4. SMK Mutiara Rini
  5. SMK Tmn Sutera
  6. Kelab Silat Seni Gayung UTM (KSSGUTM)
  7. Gelanggang Bandar Baru UDA
  8. Gelanggang Surau An-Nur


Aktiviti:
Antara aktiviti yang telah dirancangkan adalah seperti berikut :

Aktiviti 1: X-Press-C
Aktiviti 2: Majlis Bersama Pemegang Amanah Negeri Johor
Aktiviti 3: Alam Si Pemburu Malam (Dikendalikan Oleh Taman Negara Johor Tanjung Piai)
Alam Si Kunang-kunang (Dikendalikan Oleh Taman Negara Johor Tanjung Piai)
Aktiviti 4: Daka Daki Ku Daki Jua
  • Aktiviti lasak merempuh halangan
  • Dam Haji XXL
  • Futsal
Aktiviti 5: Di Mana Dia ??!!
Aktiviti 6: Helah Beladiri Menggunakan Persekitaran Alam
Aktiviti 7: Gerak kerja berkumpulan
Aktiviti 8: Malam Gayung Fantasia dan BBQ
Aktiviti 9: Teknik, Taktik & Rahsia Gayung
Aktiviti 10: Lawatan Sambil Belajar Di Taman Negara Johor Tanjung Piai.
(Dikendalikan Oleh Taman Negara Johor Tanjung Piai)
· Mangrove Education
· Nature Friendly
· Conservation

Struktur Organisasi:
Jawatankuasa Program Integrasi Gayung II 2005 , Anjuran Majlis Gurulatih Negeri Johor, Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia, Negeri Johor adalah seperti berikut:


AHLI JAWATANKUASA PELAKSANA

Penaung
En.Mohd Noor B. Abd Samad
Pemegang Amanah PSSGM
Negeri Johor Darul Takzim.

Penyelaras/Penasihat
En. Mohd Tahar B. Hj. Sahid
(Jurutera, Johor Corporation)

Ustaz Rosli B. Puteh
(Guru Sekolah Kebangsaan Senai)

Pengarah Program
Helmi Adly B. Mohd Noor
(Siswa Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn)

Timbalan Pengarah Program
Sharul Adam Bin Rahmatullah
(Siswa Universiti Teknologi MARA)

Setiausaha
Hairunorfadzlina Binti Harun
(Siswi Yayasan Pelajaran MARA)

Penolong Setiausaha
Nur Rabiah Binti Abdul Razak
( Siswi Yayasan Pelajaran Johor )

Bendahari
Nur Rashidah Binti Sharef
( SMK Bandar Baru UDA, Johor Bahru )

Penolong Bendahari
Nur Irma Binti Mohd Noor
(Siswi Universiti Utara Malaysia)

AHLI JAWATANKUASA BIRO

Biro Program & Aktiviti
1. Helmi Adly Bin Mohd. Noor
2. Nur Irma Binti Mohd. Noor
3. Hairunorfadzlina Binti Harun
4. Sharul Adam Bin Rahmatullah

Biro Keselamatan & Kesihatan
1. Sharul Adam Bin Rahmatullah
2. Mohd. Saiful Bin Mohamed Nooh
3. Mohd. Shafiz Bin Jamaluddin
4. Nur Rabiah Binti Abdul Razak

Biro Logistik & Peralatan
1. Mohd. Nurilham Bin Abd. Rahman
2. Mohd. Shafiz Bin Jamaluddin
3. Herman Shah Bin Amril

Biro Hadiah & Cenderahati
1. Nur Irma binti Mohd. Noor
2. Nur Rabiah Binti Abdul Razak

Biro Jamuan
1. Syaiful Nizam Bin Abu Shahir
2. Nur Rashidah Binti Sharef

Biro Pendaftaran
1. Hairunorfadzina Binti Harun
2. Nur Rabiah Binti Abdul Razak

Biro Perhubungan & Promosi
1. Helmi Adly Bin Mohd. Noor
2. Pengerusi SMKBBU
3. Pengerusi SMKTUN
4. Pengerusi SMKTUN 2
5. Pengerusi SMK Mutiara Rini
6. Pengerusi SMK Tmn Sutera
7. Presiden KSSGUTM

Biro Fotografi & Multimedia
1. Mohamad Farid Bin Hairudin
2. Mohd. Nurilham Bin Abd. Rahman

Biro Keceriaan & Kebersihan
1. Mohd. Shafiz Bin Jamaluddin
2. Pengerusi SMKBBU
3. Pengerusi SMKTUN
4. Pengerusi SMKTUN 2
5. Pengerusi SMK Mutiara Rini
6. Pengerusi SMK Tmn Sutera
7. Presiden KSSGUTM

Biro Protokol Dan Pengacara
1. Syaiful Nizam Bin Abu Shahir
2. Herman Shah Bin Amril
3. Nur Rabiah Binti Abdul Razak

Biro Hal Ehwal Agama
1. Mohd. Saiful Bin Mohamed Nooh
2. Mohamad Farid Bin Hairudin

PENUTUP :
Alhamdulillah, segala yang dirancang telah dapat dilaksanakan menjurus kepada matlamat dengan jayanya. Sokongan padu dari semua pihak telah menyempurnakan aktiviti yang dianjurkan. Mudah-mudahan program seumpama ini akan dapat dirancang dan dilaksanakan di masa akan datang dengan lebih berkesan.

Sila lihat artikel Integrasi Gayung 2.

Read more...

about this blog

This blog will show all the activities from authorized organization. Need your comment and suggestion...

Followers

  © By MrBundle 2007

Back to TOP