Artikel 3: Pengalaman Program Integrasi Gayung 2

Sunday, April 10, 2005



Disediakan oleh:
Peserta Integrasi Gayung II 2005

Setiap orang mempunyai pengalaman yang tersendiri sama ada pengalaman pahit atau manis. Bagi diri saya, pengalaman yang paling manis yang tidak mungkin saya lupakan ialah semasa mengikuti Program Integrasi Gayung II 2005 yang dianjurkan oleh Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia di mana kami telah berkampung di kawasan yang dikenali sebagai penghujung Benua Asia iaitu Tanjung Piai, Pontian, Johor selama 3 hari 2 malam. Pelbagai pengalaman yang menarik yang telah saya alami dan merupakan pengalaman yang baru yang belum pernah saya tempuhi sebelum ini.

Setibanya kami di kawasan yang ditujui, pengalaman pertama yang saya alami ialah dapat berhimpun dengan rakan pesilat lain yang mana ada di antara kami yang masih belum mengenali satu sama lain dan dari gelanggang yang berbeza. Sikap ramah yang ditunjukkan oleh mereka telah menarik perhatian saya untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Hubungan kami semakin akrab apabila kami diarahkan untuk mendirikan khemah. Di sinilah sikap kerjasama antara kami dapat ditonjolkan sekaligus merapatkan hubungan yang baru terjalin.

Tidak pernah terlintas dalam diri saya bahawa saya akan bergaul mesra dengan pelajar dari pelbagai gelanggang khususnya pelajar UTM. Ternyata kesemua peserta “sporting” belaka dalam menjalankan kesemua aktiviti yang telah ditetapkan. Antaranya ialah pengalaman bermain Dam Haji XXL, Ice-Breaking yang melibatkan kerjasama di antara ahli kumpulan.

Kenangan yang sentiasa terpahat di ingatan saya ialah sewaktu menjalani Alam Si Kunang-kunang di mana kami terpaksa berjalan dalam keadaan gelap-gelita tanpa bersuluhkan lampu. Kami hanya dapat melihat dalam keadaan samar-samar bersuluhkan cahaya bulan pada malam itu demi untuk melihat kunang-kunang. Saya turut berpeluang untuk mengenali perjalanan hidup si kunang-kunang dan dapat memegangnya dengan tangan saya sendiri. Sudah semestinya peluang keemasan ini tidak akan saya lepaskan. Saya turut mencari kunang-kunang dan berjaya menangkapnya tetapi saya terpaksa melepaskannya kembali kerana ini merupakan peraturan Taman Negara.

Pada hari kedua berada di sana. Sekali lagi kami disajikan satu pengalaman yang menyeronokkan di mana kami telah masuk ke kawasan paya bakau dan mencari benih pokok bakau yang sesuai untuk ditanam. Kemudian kami disajikan dengan aktivtiti yang mencabar mental dan fizikal kami iaitu “Daka Daki Ku Daki Jua” di mana kami terpaksa menempuh halangan sebanyak tujuh jenis halangan yang berbeza-beza. Sudah semestinya aktiviti ini memberikan sejuta kenangan di antara saya bersama ahli kumpulan saya iaitu “XELL DRAGON”.Sepanjang perjalanan dalam menempuh halangan ini terdapat pelbagai ragam yang dipamerkan oleh ahli kumpulan kami antaranya ialah terdapat seorang peserta perempuan yang merupakan pelajar UTM bersusah payah untuk menghilangkan kesan lumpur di tudungnya. Ini kerana kesemua halangan yang kami tempuhi adalah mempunyai lumpur paya bakau.

Bagi diri saya pula kenangan yang tidak dapat saya lupakan dan menimbulkan kelucuan apabila saya merentasi halangan ialah saya merupakan seorang peserta yang boleh dikatakan selalu terjatuh di setiap halangan walaupun saya cuba untuk mengawal diri saya tetapi malangnya saya terjatuh juga. Semua ahli kumpulan saya mengatakan bahawa nasib saya sungguh malang kerana sepanjang aktiviti yang dijalankan saya pastinya akan terjatuh. Contohnya semasa bermain “FUTSAL”, saya merupakan seorang “stricker” yang dikenali dengan keganasannya. Ini kerana setiap kali saya bermain pasti saya akan melanggar pemain lain sehingga menyebabkan mereka jatuh dan cedera. Begitu juga dengan saya yang kerap kali terjatuh ketika bermain. Yang lebih malangnya, saya telah dikenakan “Kad Kuning” sebanyak 3 kali. Tetapi akhirnya kami telah menjuarai perlawanan “FUTSAL” di kalangan pemain wanita.

Pada malam “Gayung Fantasia” kami dikehendaki membuat satu persembahan. Kumpulan saya telah menyerahkan watak pencerita kepada saya. Disebabkan saya terlalu gementar, saya telah tergagap sehingga menyebabkan kesemua penonton yang ada ketawa melihat aksi saya itu. Tetapi persembahan kami akhirnya dapat berjalan dengan lancar. Bagi kumpulan lain pula persembahan yang disajikan oleh mereka hebat-hebat belaka hingga menyebabkan kami berasa tidak kering gusi dan hilang rasa mengantuk.

Di saat-saat akhir program, kami telah menamatkannya dengan salam perpisahan. Ketika itulah kami berasa berat hati untuk mengucapkan salam perpisahan kerana belum puas rasanya menikmati program itu. Tetapi apakan daya, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Sebelum pulang saya sempat bertukar nombor telefon dan alamat agar perhubungan silaturrahim ini dapat terus berkekalan. Saya pulang dengan perasaan yang gembira kerana dapat merasai pengalaman yang baru. Sesungguhnya ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

~ Sekian ~

about this blog

This blog will show all the activities from authorized organization. Need your comment and suggestion...

Followers

  © By MrBundle 2007

Back to TOP