Artikel 1: Pengalaman Program Integrasi Gayung 2

Friday, April 8, 2005

Disediakan oleh,
NOOR ATIKA BINTI ABDUL WAHAB
Pelajar,
Smk Taman Universiti,
81300 Skudai,
Johor Bahru.


HARI PERTAMA : JUMAAT, 8 APRIL 2005
Hari ini merupakan hari yang paling menggembirakan bagi kami kerana kami adalah antara yang bertuah untuk mengikuti program Integrasi Gayung II 2005. Kami berkumpul di hadapan pintu pagar sekolah bersama-sama dengan beberapa orang pelajar dari SMK Mutiara Rini. Akhirnya bas yang kami nantikan sejak jam 10.00 pagi telah tiba.

Di dalam bas terdapat kumpulan pelajar-pelajar dari SMK Bandar Baru UDA. Kemudian bas berangkat ke destinasi lain untuk mengambil pelajar-pelajar dari SMK Taman Universiti 2 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Setibanya di masjid Pontian, peserta-peserta lelaki dan urusetia menunaikan solat Jumaat. Akhirnya kami tiba di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada jam 1.45 petang dan bermulalah sesi pendaftaran yang dikelolakan oleh pihak urusetia program.

Sementara menunggu ketibaan peserta lelaki dari menunaikan solat Jumaat, peserta-peserta perempuan ke Galeri Informasi bagi mendapatkan informasi asas mengenai Taman Negara Johor Tanjung Piai. Untuk pengetahuan kami, Taman Negara Johor Tanjung Piai merupakan kawasan penghujung Benua Asia. Setibanya peserta-peserta lelaki di sana, semua peserta dikumpulkan dan diberi taklimat oleh Kem Komanden selain memberi penerangan dan peraturan-peraturan yang perlu diikuti oleh semua peserta sepanjang program berlangsung selama 3 hari itu.

Program ini telah menghimpunkan peserta dari pelbagai pelbagai pelajar IPT, pelajar sekolah menengah dan pelajar sekolah rendah. Setelah selesai sesi taklimat oleh Kem Komanden, kami dikehendaki mendirikan khemah dengan bantuan urusetia-urusetia yang ada. Selesai sahaja mendirikan khemah kami terus menunaikan solat Asar dan diberi minum petang sesudah itu.

Selepas berjemaah Maghrib, aktiviti pada malamnya iaitu “Alam Si Kunang-Kunang” pun bermula. Kami berpeluang melihat dan mengenali kunang-kunang dengan lebih dekat lagi. Beberapa soalan telah diajukan oleh peserta kepada pihak Taman Negara Johor bagi mendapatkan lebih penjelasan dari mereka mengenai kunang-kunang.

Tepat jam 9.00 malam, diadakan majlis rasmi bersama Pemegang Amanah Negeri Johor. Acara ini berakhir lebih kurang jam 11.00 malam. Kemudian kami diberi masa 30 minit untuk menikmati minum malam. Seterusnya tepat jam 12.00 tengah malam aktiviti “Ice-Breaking” pula diadakan. Dalam aktiviti ini, poengenalan diri menggunakan nama samaran atau nama panggilan sahaja. Ketua pula dipilih berdasarkan siapa yang paling dewasa antara peserta dalam kumpulan.

Aktiviti “Dam Haji XXL” yang diadakan pada jam 12.45 tengah malam merupakan aktiviti secara berkumpulan. Ia bertujuan untuk menguji permuafakatan dan persefahaman antara ahli kumpulan. Permainan ini tamat jam 2.00 pagi dan semua peserta akhirnya dapat melenakan diri masing-masing sesudah aktiviti tersebut selesai.

HARI KEDUA : SABTU, 9 APRIL 2005
Seawal jam 5.30 pagi semua peserta bangun dari tidur dan mereka bersiap-siap untuk persediaan bagi menunaikan solt Subuh. Selepas itu kami diberi arahan oleh Kem Komanden tepat jam 7.00 pagi semua peserta berkumpul di dataran bagi melakukan senaman pagi yang dikendalikan oleh Kem Komanden. Kemudian kami menikmati sarapan pagi sebelum aktiviti seterusnya bermula jam 8.00 pagi iaitu “Konservasi” yang bermaksud mengenali alam yang dikelolakan oleh pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai.

Aktiviti ini bertujuan untuk melihat atau mengenali sepsis-spesis pokok bakau. Kami juga berpeluang untuk turun ke kawasan yang menpunyai tanaman pokok bakau bagi menanam benih bakau yang telah diberikan oleh pihak Taman Negara Johor. Jam 9.00 pagi aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh semua peserta iaitu “Daka Daki Ku Daki Jua”. Aktiviti ini adalah berbentuk aktiviti berhalangan di mana semua peserta perlu lalui pelbagai jenis halangan yang mencabar dan menguji ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental mereka. Mereka juga terpaksa menempuh lumpur sepanjang aktiviti sehingga lumpur tersebut melekat di pakaian dan anggota badan setiap peserta.

Aktiviti ini memakan masa yang agak panjang kerana ia bergantung kepada rahsia atau teknik yang ditunjukkan oleh setiap kumpulan untuk memenangi pertandingan dalam aktivtiti ini. Pelbagai ragam yang ditunjukkan di kalangan peserta-peserta sebaik sahaja mereka tiba di garisan penamat. Antaranya terdapat peserta yang kehilangan kasutnya, ada beberapa peserta yang tercabut kasut mereka semasa aktiviti berlangsung, dan bermacam-macam lagi. Selepas setiap kumpulan melepasi garisan penamat, acara boling kelapa pula menanti mereka.

Setelah membersihkan dan merehatkan diri, tibalah masanya untuk semua peserta menunaikan solat Zohor selepas semua peserta menjamu makan tengahari. Aktiviti yang seterusnya adalah “Helah Bela Diri Menggunakan Persekitaran Alam” yang dikendalikan oleh En. Mohd Noor bin Hj. Abd Smad selaku Pemegang Amanah PSSGM Negeri Johor Darul Takzim. Aktiviti memberi ‘input’ kepada kami mengenai pertahanan diri berdasarkan kepada apa yang ada di sekeliling kawasan atau tempat kita berada.

Sebelum kami meneruskan aktiviti yang seterusnya, kami terlebih dahulu menikmati hidangan minum petang dan bersolat Asar. Selepas itu aktiviti bermain futsal diadakan sebagai aktiviti riadah kami. Aktiviti ini dimulakan dengan pembahagian kumpulan mengikut lelaki dan wanita. Acara bagi lelaki dan wanita adalah berasingan mengikut kumpulan masing-masing. Jarang sekali permainan futsal dimainkan oleh pemain wanita, maka bagi penonton mereka teruja dengan pemain wanita kerana mereka telah menunjukkan kehebatannya bermain futsal. Aktiviti ini berakhir pada jam 7.00 petang dan semua peserta bersiap-siap untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah dan bacaan tahlil.

Pada malam ini kami dihidangkan dengan hidangan yang istimewa iaitu “BBQ”. Selepas itu, setiap kumpulan membuat persediaan terakhir untuk persembahan kumpulan pada malam “Gayung Fantasia”. Dalam aktiviti ini terdapat seramai 7 orang pengkritik yang ditugaskan khas untuk memberi kritikan terhadap persembahan yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan. Kemudian aktiviti seterusnya ialah “Helah Bela Diri Menggunakan Persekitaran Alam” bermula.

HARI KETIGA : AHAD, 10 APRIL 2005 Tepat jam 5.30 pagi semua peserta telah dibangunkan oleh Kem Komanden untuk bersiap-siap menunaikan solat Subuh dan melakukan senaman pagi pada jam 7.00 pagi. Pada hari terakhir ini kami menjalani aktiviti iaitu lawatan sambil belajar di Taman Negara Johor Tanjung Piai. Dalam lawatan ini juga mengadakan pertandingan mengenai bakau dan aktiviti mesra alam. Aktiviti ini telah memberi peluang kepada peserta-peserta untuk sampai ke penghujung Benua Asia yang mana kami dapat melihat Singapura, Pulau Batu Putih, keadaan laut yang bergelombang dan sayup-sayup melihat panorama pulau yang dilitupi kabus.

Pada jam 12.00 tengahari Majlis Penutupan Rasmi Program Integrasi Gayung II/2005 diadakan. Majlis ini telah dirasmikan oleh En. M. Osman, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, SMK Bandar Baru UDA. Di majlis ini turut diadakan penyampaian sijil-sijil dari pihak Taman Negara Johor Tanjung Piai kepada peserta-peserta yang mengikuti Program Integrasi Gayung II/2005 yang menyatakan bahawa peserta-peserta berkenaan telah berjaya sampai ke kawasan penghujung Benua Asia.

Setelah para peserta selesai menjamu makan tengahari dan menunaikan solat Zohor, para peserta ke tapak perkhemahan untuk menurunkan khemah, mengemas barang keperluan dan kawasan sekitarnya dibersihkan seperti mana keadaanya sebelum kami tiba di tapak tersebut. Sebelum pulang semua peserta dikehendaki melaporkan diri bagi mendapatkan maklumat bilangan peserta adalah mencukupi. Akhir sekali para peserta bersalaman dan bermaafan di antara satu sama lain sebelum mereka kembali pulang ke destinasi masing-masing.

~ Sekian ~

about this blog

This blog will show all the activities from authorized organization. Need your comment and suggestion...

Followers

  © By MrBundle 2007

Back to TOP